11 Nov 2011

Satu Malaysia

1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara evolusi.



Satu Malaysia Muzik Video







Satu Malaysia
[Terbitan : Limkokwing Sound and Music Design Academy students and staffs and produced by Limkokwing University. ]

Verse 1
Dunia kian berubah
Perubahan melingkari
Melaksana hasrat hati
Kejayaan terbukti

Verse 2
Dunia yang megah
Dengan misi yang gagah
Kerana perpaduan
Kita masih bersama

Chorus
Kita satu bangsa, Kita satu Negara
Kita satu matlamat, oooo
Kita satu bangsa, satu Negara
Kita satu Malaysia

Verse 3
Bermulanya sekarang
Perjalanan dilaksana
Seia sekata sehati dan sejiwa

Verse 4
Membina masa hadapan
Menuju kejayaan
Kita semua rakyat Malaysia
Harmoni, saling menghormati

Chorus x2
Kita satu bangsa, Kita satu Negara
Kita satu matlamat, oooo
Kita satu bangsa, satu Negara
Kita satu Malaysia

Bendera Malaysia

Jalur Gemilang








  • Bendera Malaysia bernama Jalur Gemilang. Maksud setiap lambang dan warna dalam bendera Malaysia adalah seperti berikut:


    • Warna kuning dengan bulan sabit dan bintang melambangkan Islam adalah agama rasmi Malaysia.

    • Bintang bersudut empat belas melambangkan tiga belas negeri di Malaysia dan ibu negeri.

    • 14 jalur melambangkan negeri-negeri Malaysia dan ibu negeri, Kuala Lumpur.

    • Warna biru melambangkan perpaduan.

    • Warna putih melambangkan kesucian.

    • Warna merah melambangkan keberanian.

  • Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

  • Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

  • Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

  • JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

  • GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

  • Lagu khas yang ditujukan kepada Jalur Gemilang dibuat untuk memperingati dan membanggakan bendera Malaysia disamping memperingati identiti bendera serta menyeru untuk dikibarkan bendera tersebut beserta kemegahan.


    • Sebelum bendera Malaysia diberikan nama "Jalur Gemilang", lagu telah dibuat khas untuk bendera Malaysia tanpa menggunakan sebarang rujukan nama khas tetapi terus merujuk kepada "Bendera Malaysia" atau "Benderaku".

    • Selepas bendera Malaysia telah diberi nama, perkataan di setiap awal perenggan yang mempunyai perkataan "Bendera Malaysia" atau "Benderaku" telah ditukar kepada "Jalur Gemilang".

    • Walau bagaimanapun, keadaan tidak sesuai memungkinkan orang menyanyikan versi lama di samping menyanyikan lagu baru "Jalur Gemilang".

    • Oleh itu, ketika "Jalur Gemilang" dinamakan, lagu khas untuknya turut dibuat untuk meraikan dan memperingati bendera Malaysia dengan nama Jalur Gemilang, identiti dan kemegahan yang telah dibawa bersama.


Lagu Jalur Gemilang










Merahmu bara semangat waja

Putihmu bersih budi pekerti

Kuning berdaulat payung negara

Biru perpaduan kami semua



Puncak dunia telah kau tawan

Lautan luas telah kau redah

Membawa semangat jiwa Merdeka

Semangat jaya kami warganya



Empat belas melintang jalurnya

Semua negeri dalam Malaysia

Satu suara satu semangat

Itu sumpah warga berdaulat



Jalur Gemilang dibawah naunganmu

Jalur Gemilang kami semua bersatu

Perpaduan ketaatan

Amalan murni rakyat Malaysia



Jalur Gemilang megah kami terasa

Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan

Merah, putih, biru, kuning

Jalur semangat kami semua



(2x) Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah

Jalur Gemilang!




Ciptaan dan Senikata: Pak Ngah & Siso Kopratasa

Lambang Malaysia

Jata Malaysia



Maksud setiap lambang atau warna dalam Jata Malaysia adalah seperti berikut:


  • Bulan sabit serta bintang yang berada dalam warna kuning melambangkan agama Islam.

  • Bintang bersudut empat belas melambangkan tiga belas buah negeri termasuk ibu negeri di Malaysia.

  • Harimau yang berada di dua sebelah melambangkan kewibawaan Malaysia.

  • Bunga raya melambangkan Persekutuan Malaysia.

  • Pokok Pinang, Pokok Melaka, Burung Kenyalang(enggang), dan jata Sabah melambangkan negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah.

  • Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang, merah dan kuning warna Selangor, hitam, putih dan kuning warna negeri Perak, merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal.

  • Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

  • Slogan, "Bersekutu Bertambah Mutu" ditulis dengan tulisan Rumi di sebelah kiri dan tulisan Jawi di sebelah kanan.

  • Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Lagu Malaysia

Lagu "Negaraku"











Negaraku

Tanah tumpahnya darahku,

Rakyat hidup

bersatu dan maju,


Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan,

Raja kita

selamat bertakhta,


Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan.

Raja kita

selamat bertakhta



  • Lagu Negaraku dipilih daripada lagu rasmi negeri Perak. Lagu rasmi negeri Perak berasal daripada Pulau Mahé di Kepulauan Seychelles, dan dibawa pulang oleh Raja Abdullah setelah baginda selesai menjalani hukuman. Lagu ciptaan penggubah Perancis, Pierre Jean de Beranger (1780-1857) ini, kemudian-nya telah dinamakan "Allah Lanjutkan Usia Sultan" seterusnya dijadikan lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan.


  • Lagu ini telah dipilih menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman pada 5 Ogos 1957. Upacara pemilihan ini berlangsung di Dewan Polis Depoh. Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja. Keputusan hakim ini kemudian telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu.


  • Setelah dipersetujui, kerajaan telah mengeluarkan tawaran RM1,000 kepada pengubah untuk mencipta seni katanya. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri dan lagu kebangsaan 'Negaraku' gubahan beliau terdapat dalam 3 versi.


  • Rentak lagu Negaraku telah ditukar lebih rancak oleh Dr. Mahathir. Lagu Negaraku baru dipersembahkan buat kali pertama pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka tengah malam 30 Ogos 2003 selepas Dr. Mahathir melaungkan "Merdeka" tujuh kali. Lirik Negaraku baru masih sama. Cuma permulaan lagu itu perlahan seperti irama lagu Negaraku yang asal dan pergerakannya akan berlaju.

Bunga Malaysia


Bunga Raya





  • Bunga raya atau Hibiscus Rosa- Sinensis adalah bunga kebangsaan Malaysia yang menjadi lambang perpaduan bangsa, agama, dan negara.


  • Kelopak bunga yang lima adalah lambang kepada Rukun Islam dan Rukun Negara.


  • Warna merah pula bermaksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran.


  • Kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran menjadi lambang pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan yang hidup harmoni di Negaraku Malaysia tercinta.


  • Bunga Raya merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang sering di tanam sebagai pokok hiasan. Tumbuhan berbunga mula muncul pada zaman Cretaceous. Pokok berbunga pertama adalah angiosperm.


  • Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan.


  • Pada akhir pada tahun 1958 Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Bunga yang dicadangkan adalah Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan, pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu.


  • Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.

Binatang Malaysia



Harimau Malaya






  • Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis atau Panthera tigris jacksoni) atau dikenali sebagai Harimau Belang merujuk kepada subspesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia.


  • Harimau dikatakan binatang kebangsaan Malaysia sedangkan ia merupakan salah satu binatang yang terawal muncul di tanah Melayu.


  • Harimau Malaya merupaka lambang rasmi Malaysia iaitu dalam Jata Negara Malaysia. Lambang ini juga ada dalam logo institusi-institusi Malaysia yang lain seperti PDRM, Maybank, Proton dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


  • Lambang harimau menunjukkan kepada keberanian dan kekuatan rakyat Malaysia. Harimau Malaya ini juga mendapat pelbagai nama gelaran seperti "Pak Belang" dan sebagainya.


  • Harimau Malaya digelar Pak Belang kerana ia merujuk kepada dua ekor harimau belang yang terdapat pada lambang negara Malaysia yang melambangkan keberanian dan kegigihan rakyat Malaysia mempertahankan tanah air.


  • Harimau Malaya juga merupakan nama gelaran bagi pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia.

Rukun Negara

Bahawasanya Negara Kita Malaysia
Mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:


  • Kepercayaan Kepada Tuhan


  • Kesetiaan Kepada Raja dan Negara


  • Keluhuran Perlembagaan


  • Kedaulatan Undang-undang


  • Kesopanan dan Kesusilaan





  • Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.


  • Kepercayaan Kepada Tuhan



    • Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.


  • Kesetiaan Kepada Raja dan Negara


    • Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.


  • Keluhuran Perlembagaan


    • Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.


  • Kedaulatan Undang-undang


    • Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.


  • Kesopanan dan Kesusilaan


    • Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia



Berikut adalah tiga belas negeri dan ibu negeri masing-masing (dalam kurungan):



  1. Flag of Johor.svg Johor Darul Takzim (Johor Bahru)

  2. Kedah state fl n5143.PNG Kedah Darul Aman (Alor Setar)

  3. Flag of Kelantan.svg Kelantan Darul Naim (Kota Bharu)

  4. Flag of Malacca.svg Melaka Bandaraya Bersejarah (Bandar Melaka)

  5. Flag of Negeri Sembilan.svg Negeri Sembilan Darul Khusus (Seremban)

  6. Flag of Pahang.svg Pahang Darul Makmur (Kuantan)

  7. Flag of Perak.svg Perak Darul Ridzuan (Ipoh)

  8. Flag of Perlis.svg Perlis Indera Kayangan (Kangar)

  9. Flag of Penang (Malaysia).svg Pulau Pinang Pulau Mutiara (Georgetown)

  10. Flag of Sabah.svg Sabah Negeri Di Bawah Bayu (Kota Kinabalu)

  11. Flag of Sarawak.svg Sarawak Bumi Kenyalang (Kuching)

  12. Flag of Selangor.svg Selangor Darul Ehsan (Shah Alam)

  13. Flag of Terengganu.svg Terengganu Darul Iman (Kuala Terengganu)

Berikut adalah tiga Wilayah Persekutuan di dalam Malaysia:


  1. Flag of Kuala Lumpur Malaysia.svg Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

  2. Flag of Labuan.svg Wilayah Persekutuan Labuan

  3. Putrajaya flag.gif Wilayah Persekutuan Putrajaya